‘Gebok Rezeki’ untuk asnaf

SUAMI isteri mengambil inisiatif mewujudkan pondok dikenali sebagai ‘Gebok Rezeki’ yang digunakan bagi menyimpan barangan keperluan harian untuk diagih kepada asnaf sekitar daerah ini dan Nibong Tebal.

Inisiatif itu diambil berikutan umat Islam bakal menyambut Ramadan dan ia pasti memberi kelegaan kepada individu yang dihimpit kesusahan apatah lagi perlu menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Prof Madya Dr Nurulakmal Sharif, 46, berkata, dia serta suami, Kamaruddin Shah, juga berusia 46 tahun, kerap terbabit dengan aktiviti kebajikan dan menyedari bahawa barangan keperluan adalah perkara utama menjadi kerisauan golongan memerlukan.

PASANGAN suami isteri mewujudkan pondok ‘Gebok Rezeki’ di rumah mereka untuk menyimpan barangan keperluan harian yang kemudiannya diagihkan kepada asnaf memerlukan. FOTO Ihsan Pembaca
PASANGAN suami isteri mewujudkan pondok ‘Gebok Rezeki’ di rumah mereka untuk menyimpan barangan keperluan harian yang kemudiannya diagihkan kepada asnaf memerlukan. FOTO Ihsan Pembaca

“Kami pernah menyertai misi amal ketika banjir besar melanda pantai timur pada 2014 dan ramai penduduk terputus bekalan makanan.

“Ia memberi kesedaran kepada kami untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Menurut beliau, ketika ini, ramai yang tidak mampu menyara keluarga akibat Covid-19.

Nurulakmal berkata, pondok dibina di rumahnya di Taman Murni, Parit Buntar dekat sini, dihadiahkan seorang tukang kayu yang mahu bekerjasama dalam kerja amal berkenaan.

“Gebok Rezeki ini dibuka 24 jam setiap hari bagi memudahkan golongan asnaf dari kampung berhampiran taman perumahan ini, selain kawasan sekitar Nibong Tebal, mengambil barangan keperluan.

“Barangan disediakan termasuk beras, tepung, minyak dan gula. Pihak yang ingin membantu dialu-alukan untuk datang dan meletakkan barangan keperluan dalam Gebok Rezeki. Kita sama-sama bantu asnaf,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan