Ganti flat usang lebih 30 tahun

FLAT usang terutama Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur dikenal pasti berusia lebih 30 tahun akan dirobohkan, dengan diganti kediaman lebih selesa yang mempunyai tiga bilik berharga lebih RM200,000.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, projek berkenaan dinamakan Program Pembaharuan Bandar Kuala Lumpur yang akan dilakukan secara berperingkat mulai tahun ini.

Katanya, program berkenaan akan dimulakan di Sentul yang membabitkan 1,000 unit kediaman dan Bukit Kiara membabitkan 300 unit yang akan dimulakan tidak lama lagi.

“Menerusi program berkenaan, kita akan mengenal pasti flat usang yang sudah dibina lebih 30 tahun dengan kebanyakannya hanya mempunyai satu bilik sahaja, menyebabkan ahli keluarga terpaksa hidup bersesak.

“Sehubungan itu, bagi flat terutama PPR yang dikenal pasti, kita akan merobohkannya dan diganti dengan pembangunan kediaman lebih selesa berharga lebih RM200,000 seunit dan projek pembinaan mengambil masa tiga tahun.

“Bagi mereka yang sudah membeli kediaman lama itu akan memperoleh kediaman baru secara percuma dan jauh lebih selesa. Bagi generasi kedua pemilik kediaman flat berkenaan akan mendapat potongan harga 50 peratus.

Beliau berkata demikian pada sidang media seleas menyampaikan bantuan kepada 4,000 penduduk kampung golongan B40 di Kok Lanas, hari ini.

Annuar berkata, pihaknya tidak akan mengumumkan senarai flat atau PPR yang dikenal pasti untuk dirobohkan lebih awal, kerana bagi mengelak penghuni berharap untuk mendapat kediaman baharu.

“Kita hanya umum selepas mempunyai plan alternatif sebagaimana di Sentul dan Bukit Kiara. Kena faham siapa yang tidak mahu mendapat rumah berharga RM200,000 sedangkan rumah lama yang mereka beli berharga RM35,000 sahaja.

“Program ini tidak membabitkan dana yang besar daripada kerajaan kerana pendanaan diperoleh daripada pihak swasta. Kerajaan hanya menyediakan tapak sahaja.