‘Gangguan seksual terhadap 2 ADUN jenayah serius’

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengecam sekeras-kerasnya jenayah gangguan seks terhadap dua Ahli Dewan Negeri (ADUN) wanita di negeri itu.

Amirudin menerusi status dimuat naik di Facebook berkata, gangguan diterima ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dan ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei adalah satu bentuk jenayah serius serta tidak bertanggungjawab.

“Kedua-dua individu ini adalah ADUN Selangor dan pemimpin wanita muda yang cakna terhadap pembangunan golongan itu.

“Saya berharap agar mereka yang bersalah akan diberi hukuman setimpal dan yakin pihak berkuasa akan menyiasat serta mengambil tindakan,” katanya.

Amirudin berkata, Selangor adalah negeri yang mengangkat martabat wanita sebagai pembuat keputusan dan penggubal dasar, selain sentiasa prihatin terhadap keselamatan kaum berkenaan.

Beliau turut berharap agar kejadian tidak diingini itu akan dihentikan agar kaum wanita merasa selesa dan selamat untuk menyuarakan pendapat mereka dalam masyarakat.

Terdahulu, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung gangguan seksual ke atas ADUN bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada Adun terbabit pada 22 Mei lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 507, Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Manakala, ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei yang turut mendakwa menerima gangguan seksual masih belum tampil membuat laporan polis.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen mengecam tindakan gangguan seksual ke atas dua ADUN terbabit di laman sosial Twitter masing-masing.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengecam perbuatan itu dan menggesa siasatan segera dijalankan pihak berkuasa.