Gaji dibayar penuh – majikan

“SYARIKAT kami tidak memotong gaji malahan sentiasa menjaga kebajikan pekerja,” ujar Syed Ahmad Zulfar Syed Zainun yang juga majikan kepada Mohamad Hilmi Abdul Rani @ Atam, 34.

Beliau berkata, syarikatnya amat terkejut dengan laporan Harian Metro mengatakan Mohamad Hilmi hanya mempunyai wang simpanan RM50 bagi meneruskan hidup sepanjang arahan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) ketika ini.

Katanya, mengikut semakan, gaji bulan Mac dibayar penuh RM1,700 dan tidak ada pemotongan berikutan arahan PKP ini.

“Gaji keseluruhan diterimanya adalah RM1,932.35 selepas dibuat penolakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan caruman Perkeso.

“Kami tidak pernah memotong gaji pekerja bila-bila masa. Ingin saya betulkan kekeliruan ini supaya tidak menimbulkan masalah.

“Syarikat juga meminta penjelasan bertulis daripada Mohamad Hilmi mengenai keadaan sebenar. Saya difahamkan dakwaan bahawa gaji dipotong hanya andaian dia semata-mata berikutan arahan PKP bagi membendung Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Harian Metro pada 2 April lalu melaporkan Mohamad Hilmi yang bekerja kontrak di Putrajaya hanya mempunyai wang simpanan RM50 dan sedikit barangan keperluan dan mendakwa gajinya akan dipotong majikan susulan PKP fasa kedua.

Beliau berkata, syarikat tidak pernah mendapat makluman mengenai kesempitan hidup pekerjanya itu sebelum ini.

Katanya, mereka selalu menjaga kebajikan pekerja dalam semua perkara terutamanya ketika arahan PKP ketika ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan