Gagal curi hasil hutan RM20,000

JABATAN Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) mematahkan cubaan mencuri hasil hutan dianggarkan RM20,000 dalam serbuan di Kompartmen 3 Hutan Simpan Piah, Kuala Kangsar, hari ini.

JPNPk dalam kenyataan berkata, hasil serbuan penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah Kuala Kangsar itu menemukan satu tunggul pokok meranti tembaga bersama 209 keping kayu ditukar bentuk dalam pelbagai saiz di kompartmen terbabit.

Menurutnya, tiada jentera dan individu disyaki berada di lokasi semasa serbuan dijalankan.

“Serbuan dibuat hasil risikan dan intipan selepas menerima satu aduan mengenai aktiviti mencuri hasil hutan berhampiran Kem PLKN Terkop, Lintang, Lasah, Sungai Siput hari ini.

“Rampasan kayu itu dianggarkan bernilai RM20,000 dan aktiviti aktiviti itu dipercayai dijalankan sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan sejak 4 Mei lalu.

“Kami percaya hasil kayu terbabit akan dipindahkan keluar dari hutan itu dalam masa terdekat” kata kenyataan itu.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Siput (U) manakala semua rampasan disita dan dibawa ke Stor Rampasan JPNPk untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Kesalahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 (APN 1984) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 dan penjara tidak melebihi 20 tahun kerana mencuri hasil hutan negara.