Fokus nyah cemar masjid dan surau

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu kini memfokuskan operasi nyah kuman di masjid dan surau di negeri itu.

Pengarah JBPM Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, tumpuan beralih kepada rumah ibadat selepas Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memperkenankan solat Jumaat diadakan bermula Jumaat ini waktu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sebelum ini, kita sudah melakukan operasi nyah kuman di beberapa masjid terpilih tetapi selepas pengumuman mengenai pelaksanaan solat Jumaat, kita akan lakukan sekali lagi proses sama berdasarkan permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

“Proses dilakukan secara berperingkat di tempat yang agak kritikal dan berlaku pertemuan serta sentuhan seperti pasar awam dan pasar raya dengan 486 sanitasi sudah dilakukan bermula 30 Mac lalu.

“Kemaman merekodkan jumlah operasi tertinggi iaitu sebanyak 130 lokasi diikuti Kuala Terengganu (116), Setiu (78), Dungun (72), Marang (38), Besut (30), Hulu Terengganu (12) dan Kuala Nerus (10),” katanya ketika ditemui pada sidang media kesiapsiagaan JBPM Terengganu di musim perayaan di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu di sini malam tadi.

Md Hilman berkata, pihaknya kini melakukan proses sanitasi awam di premis kerajaan dan kenderaan membawa penuntut institut pengajian tinggi.

Dalam pada itu, Md Hilman berkata, JBPM Terengganu merekodkan 256 panggilan kebakaran, penyelamatan dan tugas-tugas khas yang lain sejak 1 Mei lalu berbanding 355 panggilan dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu juga membantu mengurangkan jumlah kebakaran terbuka di kawasan belukar dan hutan apabila hanya 710 kebakaran direkodkan berbanding 1,397 kes dalam tempoh sama tahun lalu.