Enam hari berturut-turut tiada kes baharu

BUAT julung kali selama enam hari berturut-turut sejak 15 Mei lalu, Negeri Sembilan merekodkan sifar kes baharu Covid-19 selepas kali terakhir mencatatkan 11 kes baharu wabak berkenaan pada 14 Mei.

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) dalam laporannya pada lewat petang hari ini menyatakan tiada kes baharu Covid-19 dikesan.

Sehubungan itu, jumlah keseluruhan kes Covid-19 kekal kepada 776 membabitkan 161 kes daripada kluster kilang ayam di Pedas Rembau, 144 kes kluster ijtimak tabligh di Sri Petaling Kuala Lumpur dan 11 kes kluster Sendayan.

Laporan itu menyebut tiada kes kematian baharu berkaitan Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kematian di Negeri Sembilan kekal sebanyak lapan kes.

Rembau menjadi satu-satunya daerah berstatus zon merah susulan kluster baharu Covid-19 yang membabitkan kilang memproses ayam di Pedas.

Kuala Pilah kembali termasuk dalam empat daerah zon kuning yang turut membabitkan Seremban, Jempol dan Port Dickson manakala zon hijau kekal membabitkan Tampin dan Jelebu.

Keseluruhan kumulatif kes setakat ini, Seremban merekodkan sebanyak 358, Rembau (216), Tampin (19), Jempol (14), Port Dickson (12), Kuala Pilah (7) dan Jelebu (2) manakala stesen kuarantin sebanyak 148.

Kes sembuh terus bertambah kepada 510 membabitkan Seremban (324), Rembau (57), Tampin (19), Jempol (13), Port Dickson (10), Kuala Pilah (5), Jelebu (2) dan stesen kuarantin (80).

Sementara itu, sehingga hari ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan sudah melakukan program sanitasi atau nyah kuman membabitkan 1,149 premis di seluruh negeri.

Pegawai Urusetia merangkap Pegawai Perhubungan Awam JPBM Negeri Sembilan, Ahmad Khomeini Kamarudzaman, berkata ia membabitkan 536 premis di Seremban, Port Dickson (90), Jempol (143), Tampin (191), Kuala Pilah (44), Rembau (590) dan Jelebu (86).

Beliau berkata, operasi nyah kuman ini dilakukan termasuk di tempat ibadat, kawasan perumahan, stesen pengangkutan awam, bangunan kerajaan, pasar raya dan premis perniagaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19