Dugaan Ramadan

EMPAT keluarga di Kampung Sungai Limau dan Banggol Setang, Mukim Pulai di Baling dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas rumah mereka dilanda banjir, petang hari ini.

Hujan lebat sekitar 5 petang itu menyebabkan dua kampung berkenaan dinaiki air sedalam 0.5 meter malam ini berikutan aras sungai naik mendadak.

Penghulu Mukim Pulai/Kupang, Badrul Hisham Che Li, berkata ada 10 keluarga yang terjejas akibat banjir itu, empat daripadanya terpaksa dipindahkan ke PPS.

“Ini kerana, kedudukan rumah mereka berhampiran tebing sungai dan air semakin naik dengan keadaan cuaca gelap.

“Usaha membawa mereka berpindah dilakukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke pusat pemindahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, setakat ini keadaan terkawal meskipun arus masih deras dan tidak ada kejadian buruk dilaporkan.