Dugaan peruncit Kampung Sarang

“KEDAI runcit baru sahaja dibenar beroperasi semula dan saya gembira dapat memudahkan penduduk membeli barangan keperluan, namun kini semuanya musnah dalam kebakaran,” luah Kanuoi Sambion, 59.

Kedai runcitnya yang terletak di Jalan Kota Belud-Kudat dekat Kampung Sarang di Kota Belud musnah dalam kebakaran pada 9.10 malam semalam.

Nenek kepada 14 cucu itu berkata, dia menyedari kedai yang turut menjual barangan menjahit terbakar selepas dimaklumkan penduduk.

“Kedai beroperasi semula 31 Mac lalu bermula 6 pagi hingga 6 petang dan memudahkan penduduk kampung kerana tidak perlu ulang-alik ke pekan Kota Belud sejauh 40 kilometer untuk beli barang keperluan.

“Malangnya, kejadian ini berlaku dan lebih 20 penduduk cuba membantu memadam kebakaran namun gagal,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.16 malam dan sembilan anggota bergegas ke lokasi dengan dua jentera.

Katanya, ketika tiba, kedai runcit jenis tidak kekal itu hampir musnah namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kebakaran dikawal pada 10.18 malam dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.