Dua polis disyaki terima rasuah RM3,000

DUA anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, semalam selepas dipercayai menerima wang rasuah RM3,000 daripada seorang lelaki untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan memiliki peralatan menghisap syabu.

Kedua-dua koperal berusia 37 dan 44 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau ditahan pada 2.30 petang.

Difahamkan, kedua-dua anggota polis itu menemui peralatan menghisap syabu di dalam rumah lelaki terbabit pada Selasa lalu.

Kedua-dua suspek kemudian menerima sejumlah wang rasuah RM3,000 daripada lelaki itu petang semalam untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan berhubung tangkapan terhadap kedua-dua individu itu.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Keningau hari ini untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi,” katanya.