Dua kampus cawangan IPT jadi pusat kuarantin Covid-19

DUA kampus cawangan institusi pengajian tinggi (IPT) di Bintulu akan dijadikan sebagai pusat kuarantin bagi merawat pesakit Covid-19 dalam masa terdekat ini.

Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kerajaan juga sedang mengenal pasti beberapa hotel di sini untuk dijadikan sebagai pusat kuarantin.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sudah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan pertambahan pesakit Covid-19 19 sehingga pertengahan April ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat Covid-19 peringkat bahagian Bintulu di Pejabat Residen Bintulu, semalam.

Dr Rundi berkata, setakat ini lima individu di Bintulu disahkan positif Covid-19 manakala 12 lagi dikuarantin di Pusat Kuarantin Taman Negara Similajau.

Rundi tidak menolak kemungkinan jumlah itu meningkat berikutan trend individu dalam siasatan (PUI) yang semakin bertambah ketika ini.

“Kita tidak tahu apa akan berlaku dalam masa dua minggu akan datang dan sekiranya mereka (PUI) disahkan positif Covid-19 maka kita sudah bersedia bagi merawat mereka di pusat kuarantin yang dikhaskan,” katanya.

Beliau berkata, Bintulu antara kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah jangkitan virus Covid-19 dengan lima kes positif.

“Kita memohon bantuan penduduk awam agar mematuhi PKP yang dikuatkuasakan sehingga 14 April ini nanti bagi memastikan yang usaha memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 ini berjaya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19