Dua bot tunda langgar syarat lesen ditahan

PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan dua bot pukat tunda kerana dikesan melanggar syarat sah lesen dalam operasi berasingan di perairan Tanjung Chinchin, Langkawi, semalam.

Kedua-dua bot ditahan anggota PPM Wilayah 1 Langkawi ketika sedang melakukan penugasan Op Benteng Covid-19 di kawasan berkenaan.

Komander Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pihaknya menahan sebuah bot nelayan kelas C pada 10 malam pada jarak 7.38 batu nautika dari Tanjung Chinchin.

Menurutnya, seramai lima nelayan warga Thailand berusia 37 hingga 57 tahun ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti menunda ikan.

“Susulan itu, PPM menahan sebuah lagi bot pukat tunda bersama tiga nelayan termasuk tekong berusia 19 hingga 51 tahun di lokasi berhampiran kira-kira setengah jam kemudian kerana melakukan kesalahan sama.

“Nilai keseluruhan rampasan membabitkan dua bot pukat tunda kelas C dan peralatan menangkap ikan dianggarkan RM700,000,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek dan barangan rampasan dibawa ke Pangkalan Polis Marin di Bukit Malut, Langkawi untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen.