Dua beranak melecur dapur terbakar

DUA beranak melecur selepas bahagian dapur rumah mereka di Jalan PJS 9/20 Bandar Sunway, Subang Jaya, terbakar, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 3.33 petang.

“Seramai empat anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Penchala dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami mendapati bahagian dapur rumah teres dua tingkat itu terbakar sebelum kebakaran berjaya dikawal beberapa minit kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hafisham berkata, kejadian itu menyebabkan dua beranak melecur di bahagian muka, badan dan tangan.

“Seorang lelaki berusia 36 tahun melecur di bahagian muka dan badan, manakala ibunya berusia 64 tahun melecur di bahagian tangan.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut,” katanya.