Dr Zulkifli bersedia teliti isu arak

JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersedia meneliti isu arak terhadap impak sosial, etika dan moral dalam masyarakat selepas menerima memorandum yang diserahkan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), hari ini.

Menterinya, Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri Zulkifli berkata, beliau menghargai cadangan yang diutarakan serta memahami kebimbangan orang ramai berhubung isu berkenaan, terutama berhubung kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk sehingga menyebabkan mudarat serta kematian.

Katanya, beliau bersetuju dengan langkah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan untuk menyegerakan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta aspek perundangan lain seperti pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan.

“Tanggungjawab memelihara nyawa (hifz al-nafs) adalah satu keutamaan dalam maqasid syariah dan perlu diambil berat oleh kerajaan agar isu ini dapat dirawat hingga ke akar permasalahannya.

“Semoga usaha bersama diadakan ini dapat memberikan solusi (penyelesaian) terbaik dalam membantu menyelesaikan permasalahan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini secara keseluruhan,” katanya menerusi status dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Pagi hari ini, Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa menyerahkan memorandum kepada Zulkifli bagi menjadi penasihat berhubung isu itu di negara ini.

Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz mewakili Zulkifli.

Ia mewakili 1,200 badan bukan kerajaan (NGO) Islam seluruh negara yang menyokong penuh kandungan memorandum berkenaan.