Ditutup sebab tak ada lesen, bukan gagal patuh SOP PKPB

SEBANYAK 37 premis perniagaan termasuk jenama popular di pusat beli-belah terkenal di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru, diarahkan tutup sementara berikutan tidak memiliki lesen perniagaan sah.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud berkata, arahan penutupan sementara itu dibuat dalam dua operasi bersepadu yang dijalankan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada Isnin lalu dan kelmarin.

Katanya, tindakan penutupan itu selaras peruntukan kuasa MBJB mengikut Seksyen 72 (1) (f), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Terdapat 37 premis perniagaan dalam pusat beli-belah berkenaan diarahkan tutup sementara disebabkan pengusaha gagal menunjukkan bukti memiliki lesen perniagaan MBJB yang sah sewaktu pemeriksaan dijalankan pada hari raya kedua dan keempat lalu.

“Pada operasi 25 Mei lalu sebanyak 19 premis diarahkan tutup sementara atas kesalahan berkenaan manakala pada operasi kelmarin pula, 18 premis diberikan arahan sama.

“Petugas MBJB memasang pita keselamatan di semua premis berkenaan sehingga mereka mendapatkan lesen perniagaan MBJB yang sah.

“MBJB juga mengarahkan supaya mereka memohon lesen perniagaan terlebih dulu dan menunjukkan bukti permohonan lesen bagi dibenarkan untuk beroperasi semula,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, gambar dan video memaparkan petugas MBJB memasang pita keselamatan di beberapa premis di pusat beli-belah berkenaan tular dengan pelbagai dakwaan tidak sahih termasuk penularan wabak Covid-19 selain didakwa tidak mematuhi prosedur standard operasi (SOP) kerajaan.

Mengulas lanjut, Adib Azhari berkata, hasil pemantauan dijalankan mendapati kesemua premis perniagaan mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang diarahkan.

“Terdapat pemeriksaan suhu badan pelanggan, penjarakan sosial dan penggunaan cecair pembasmi kuman di pintu masuk utama pusat beli belah serta setiap lot premis niaga, ” katanya.