Ditemui tertidur di ladang kelapa sawit

WARGA emas, Esah Ya’akob,83, yang hilang di dusun durian di Kampung Carok Kangar, Kupang, Baling, semalam, ditemui selamat sekitar 11.30 pagi ini.

Mangsa ditemui sedang tidur di laluan dalam ladang kelapa sawit kira-kira tiga kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang.

Anak saudaranya, Abdul Rahman Ismail, 59, yang menemui mangsa berkata, dia mencari di dalam ladang yang berdekatan dan ternampak mangsa terbaring di jalan.

Dia berkata, mangsa dipercayai keletihan akibat semalaman kerana tidak makan dan tidur di dalam hutan.

“Mujurlah ibu saudara saya ditemui selamat walaupun keletihan.

“Ibu saudara saya sesat ketika perjalanan pulang ke rumah semalam dengan menghala ke arah ladang kelapa sawit sejauh tiga kilometer,” katanya.

Mangsa dihantar ke Hospital Baling (HB) menggunakan kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk rawatan susulan.

Berita berkaitan

• Guna K9 kesan warga emas hilang