Ditahan ketika asyik minum ketum

SERAMAI 12 lelaki tempatan yang leka minum ketum ditahan di sebuah ‘port’ di Kampung Penarak, Langkawi, semalam ketika operasi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kumpulan lelaki itu adalah antara 16 individu berusia antara 18 dan 50 Tahun ditahan dalam operasi 24 jam berakhir 12 tengah malam.

“Polis melakukan empat siri serbuan semalam dan kesemua suspek gagal memberikan alasan munasabah ketika berkumpul di luar rumah.

“Tiga lagi serbuan membabitkan penahanan masing-masing seorang lelaki di Perumahan Jabatan Kerja Raya di Kuah, dan Kampung Belak, Mukim Kedawang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Iqbal berkata, bertindak di atas maklumat awam, dua lagi lelaki ditahan di hadapan Gerai Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan di Kuah, pada 6 petang.

“Semua individu terbabit ditahan reman dan disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Beberapa individu turut disiasat mengikut Seksyen Seksyen 447 Kanun Keseksaan (KK) kerana menceroboh, 270 KK kerana berkumpul menyebabkan merebaknya penyakit berjangkit,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan