Ditahan bersama arak seludup bernilai RM11,570

DUA wanita warga Myanmar ditahan bersama 360 tin dan 204 botol arak seludup dalam serbuan sebuah premis di Taman Air Biru, di Pasir Gudang, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Dimin Awang berkata serbuan pada 6 petang itu dilakukan Pasukan PGA di rumah kedai dan menemui dua wanita berusia 39 dan 42 terbabit.

“Dua wanita itu dipercayai peniaga. Hasil pemeriksaan dalam premis menemukan 360 tin dan 204 botol minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk.

“Anggaran nilai rampasan berjumlah lebih kurang RM11,570. Tangkapan dan rampasan ini dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam untuk tindakan lanjut. Kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya.