Dipukul selepas bersahur

NIAT wanita warga emas untuk berehat selepas bersahur bertukar detik hitam apabila dia dipukul lelaki tidak dikenali yang memecah masuk rumahnya di Kampung Bagan Nira, Sabak Bernam, 10 Mei lalu.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, mangsa berusia 74 tahun cedera pada kepala, belakang badan serta jari tangan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, hasil siasatan mendapati mangsa tinggal seorang diri di rumah itu kerana dua anaknya tinggal di luar Selangor.

Kata Agus Salim, ketika kejadian mangsa sedang berbaring di dalam biliknya selepas bersahur.

“Mangsa tidak nampak dengan jelas wajah suspek susulan keadaan bilik yang gelap.

“Suspek mengarahkan mangsa supaya diam sebelum memukulnya menggunakan objek seperti batang kayu.

“Suspek kemudian melarikan diri selepas mangsa menjerit meminta tolong,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa mendapati tiada kesan selongkar dalam rumah dan tiada barang berharga hilang melainkan tingkap biliknya mempunyai kesan pecah dipercayai menjadi laluan keluar dan masuk suspek.

Menurut Agus Salim, mangsa kemudian pergi ke rumah ahli keluarganya untuk tinggal sementara ekoran bimbang kejadian itu berulang dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk mendapatkan rawatan.

“Pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan pada kepala dan jari keempat tangan kanan.

“Selepas menerima jahitan dan ujian X-ray, mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk rawatan lanjut dari pakar tulang bagi merawat jari mangsa yang patah.

“Mangsa ditahan di wad HTAJ 6.30 petang untuk rawatan susulan,” katanya.

Agus Salim berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK).