Dikompaun jual pelitup muka RM2.40

PEMILIK sebuah kedai runcit di Kemaman dikompaun RM10,000 selepas didapati menjual pelitup muka dengan harga RM2.40 sekeping.

Dalam serbuan kira-kira 12 tengah hari itu, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu turut merampas 70 keping pelitup muka tiga lapisan membabitkan rampasan bernilai RM168.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, pemeriksaan mendapati kedai runcit milik wanita berusia 45 tahun itu menjual pelitup muka tiga lapisan dengan harga tinggi berbanding harga kawalan ditetapkan iaitu RM1.50.

“Harga jualan runcit bagi topeng muka yang dikawal ialah RM0.15 sekeping bagi jenis satu lapis, RM0.20 (dua lapisan), RM1.50 (tiga lapisan) dan RM6 (N95).

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut peruntukan mengikut Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Saharuddin berkata, KPDNHEP Terengganu menjalankan 5,798 pemeriksaan dengan 87 kes membabitkan nilai kompaun sebanyak RM33,000.

Katanya, sebanyak 205 aduan seperti transaksi dalam talian (88 kes), harga (56 kes) dan barang kawalan (26 kes) yang diterima daripada orang awam sudah diambil tindakan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau kemusykilan boleh menghubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Terengganu dan semua cawangan yang beroperasi daripada 8 pagi hingga 6 petang,” katanya.