Diisytihar zon merah, penduduk Hulu Selangor bimbang

PENDUDUK daerah Hulu Selangor semakin risau apabila kawasan mereka dikategorikan berada dalam situasi zon merah penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Kelmarin, Hulu Selangor dilaporkan mencatatkan 43 kes positif Covid-19 daripada 1,066 keseluruhan di Selangor, ia menunjukkan paras bahaya mengikut statistik portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Lima daerah lain di negeri ini yang diisytihar zon merah ialah Hulu Langat, Petaling, Klang, Gombak dan Sepang.

Tinjauan hari ini mendapati penduduk sangat bimbang dengan situasi itu menyebabkan mereka kekal patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa ketika ini sehingga 28 April depan.

Laluan masuk dan keluar ke Hulu Selangor kelihatan terkawal apabila orang ramai mematuhi arahan PKP yang sedang dijalankan ini.

Seorang penduduk, Ahmad Nordin, 45 berkata, pergerakan mereka dalam daerah ini semakin terbatas dan terkawal apabila mengetahui wabak itu semakin menular di situ.

Katanya, aktiviti harian termasuk membeli barangan di pasar dan kedai runcit perlu diurus dengan lebih baik lagi.

“Hanya ketua keluarga keluar rumah membeli barangan harian. Kami sangat bimbang wabak ini. Amalan memakai topeng muka dan mencuci tangan sentiasa diamalkan demi menjaga kesihatan diri dan keluarga,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, penduduk juga patut mengekalkan rekod daerah ini terbaik dan paling patuh PKP yang dijalankan kerajaan sejak 18 Mac lalu.

Seorang peniaga di Pasar Serendah, Markiah Sarbani, 48, berkata, amalan rutin penduduk kini nampak lebih teratur dan dalam keadaan sentiasa berwaspada.

Katanya, kelihatan penduduk beratur dengan tenang membeli barangan harian di pasar basah itu .

“Disiplin mereka lebih baik ketika berurusan di sini. Kami cemas juga bila dikatakan daerah ini berada dalam zon merah wabak Covid-19.

“Kami setuju apabila kerajaan mengumumkan bahawa melanjutkan PKP hingga 28 April ini. Keadaan ini semakin perlu demi menjaga kesejahteraan rakyat negara ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan