Didik anak puasa enam hari Syawal

KEMERIAHAN sambutan Aidilfitri dalam normal baharu memberikan pengalaman berharga buat anak kecil apabila mengamalkan puasa sunat enam hari Syawal, bermula hari ini.

Amalan sunat itu sememangnya kerap dilakukan orang ramai setiap tahun bermula 2 Syawal selama enam hari dalam bulan berkenaan.

Tinjauan mendapati segelintir ibu bapa memilih mendidik anak mereka berpuasa enam hari ketika mereka patuh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Seorang ibu dari Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor, Mimi Suriati Ishak, 43, berkata, ketika mereka masih ‘berkurung’ di rumah, tidak balik kampung dan beraya di rumah jiran, amat sesuai mengamalkan puasa enam hari itu bagi mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah.

Katanya, seawal 4 pagi hari ini, dia mengajak suami dan tiga anaknya berusia enam hingga 16 tahun bersahur untuk terus berpuasa enam hari.

“Banyak hikmah dan kelebihan amalan berpuasa sunat ini bersama ahli keluarga. Ketika anak masih bercuti sekolah mereka mempunyai aktiviti amat baik untuk diamalkan.

“Kami sekeluarga tidak beraya ke mana-mana. Duduk rumah jaga diri masing-masing. Anak diajak berpuasa sunat bersama ibu bapa agar memberi pendidikan berguna,” katanya.

Dia berkata, amalan puasa sunat itu diamalkan keluarganya sejak beberapa tahun lalu bersama ahli keluarga namun tidak berterusan setiap hari sepanjang Syawal.

Kakitangan kerajaan dari Hulu Bernam, Hulu Selangor, Muhamad Safari Muslim, 35, berkata, mereka tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama sanak keluarga dan jiran tetangga ketika ini.

“Cuti rehat diambil selama tiga hari sehingga Ahad ini digunakan sebaiknya untuk mendidik anak berlatih puasa sunat.

“Saya menerapkan amalan sunnah Rasulullah ini kepada si cilik di rumah agar mereka meneruskan aktiviti berpuasa selepas 30 hari pada Ramadan lalu di bulan Syawal pula,” katanya.