Detik cemas pemandu treler

LELAKI berdepan detik cemas selepas treler dipandunya melanggar tebing bukit sebelum terbalik di Kilometer 33, Jalan Kuala Berang-Tasik Kenyir, Kuala Berang, hari ini.

Dalam kejadian 7.18 malam itu, Mohd Najmuddin Abdul Aziz, 40, bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu treler yang membawa muatan bijih besi batu amang dalam perjalanan dari arah Gua Musang, Kelantan menuju ke Pelabuhan Gebeng, Kuantan, Pahang.

“Apabila sampai di tempat kejadian yang menuruni bukit berselekoh, treler dipandunya mengalami masalah teknikal apabila sistem komputer tiba-tiba terpadam menyebabkan enjin, sistem brek dan stering tidak berfungsi.

“Akibat keadaan itu, mangsa mengambil keputusan memandu trelernya di bahu jalan sebelah kanan menghala ke Kuala Berang dan melanggar tebing bukit menyebabkan kenderaan terbalik.

“Pada masa sama, muatan dibawanya bertaburan di atas kedua-dua lorong jalan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.