‘Cukuplah Allah uji saya’

“SEMINGGU sebelum dimasukkan ke hospital seluruh badan merasa panas dan tidak berselera untuk menjamah makanan kecuali telur separuh masak.”

Itu kata siak masjid, Mohd Samsuddin Badar, 63, yang bertugas di Masjid Simpang Empat, Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam yang dijangkiti Covid-19, 21 Mac lalu.

Katanya, dia tidak menyangka demam panas berpanjangan yang dialami sebenarnya petanda dia dijangkiti virus berkenaan.

“Pada 17 Mac saya mendapat rawatan dan membuat ujian Covid-19 di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Sungai Air Tawar, beberapa hari kemudian PKD memaklumkan saya positif.

“Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu, saya paling risau memikirkan kesihatan isteri dan anak cucu kerana dibimbangi dijangkiti wabak sama,” katanya yang dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB), Selangor.

Mohd Samsuddin berkata, seminggu sebelum dia demam, masjid tempatnya dikunjungi sekumpulan tabligh yang pernah menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling.

“Saya reda dengan apa juga ketentuan Allah dan berdoa agar seluruh ahli keluarga dijauhi dari wabak berkenaan.

“Saya bersyukur kerana ujian ketiga yang dijalankan pada 4 April lalu mendapati saya negatif dan dibenarkan keluar hospital,” katanya.

Katanya, dia kini menjalani kuarantin berbaki 11 hari lagi di rumah anak lelaki di Selayang, Selangor.

Mohd Samsudin berkata, selepas tamat menjalani kuarantin ini dia akan pulang ke kampung menemui ahli keluarga.

Menurutnya, dia masih dalam pemantauan pihak hospital, manakala ahli keluarganya masih menunggu keputusan ujian saringan.

“Saya sentiasa berdoa supaya mereka dijauhkan dari wabak merbahaya ini, cukuplah Allah uji saya kerana ia amat menyedihkan kerana terpisah dari keluarga.

“Nasihat saya kepada pesakit ini supaya banyak bersabar dan kuatkan semangat. Ajal maut ditentukan tuhan sentiasa dekatkan diri dengan Allah dan sentiasa memohon doa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19