Covid-19: Vitamin C hanya makanan tambahan

PENGAMBILAN Vitamin C hanya sebagai makanan tambahan saja dan bukan untuk merawat Covid-19.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Zienna Zufida Zainol Rashid berkata, tiada kajian mengatakan pengambilan vitamin C boleh mencegah dan merawat wabak itu setakat hari ini.

“Pengambilan vitamin C boleh diambil sebagai makanan tambahan biasa tetapi ia bukan untuk mencegah jangkitan Covid-19.

“Tiada apa-apa bukti dan kajian mengatakan ia boleh mencegah dan merawat jangkitan Covid-19, tetapi ia boleh diambil secara supplement biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan orang ramai dalam rancangan khas Kenali Covid-19 yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai pengambilan vitamin C boleh mencegah Covid-19 dan boleh mengelak dijangkiti virus itu.

Selain vitamin C, beberapa pemakanan lain turut disenaraikan antara kaedah mencegah jangkitan dan menyembuhkan pesakit Covid-19.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Dr Aizuniza Abdullah berkata, belum ada sebarang kajian mengenai perkara itu.

“Ramai juga bertanya makanan khas seperti herba boleh mencegah jangkitan. Belum ada lagi kajian keberkesanan perkara ini yang khusus dalam mencegah Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19