Covid-19: Tiada lagi zon merah di Negeri Sembilan

TIADA lagi zon merah Covid-19 di Negeri Sembilan selepas Rembau yang sebelum ini berstatus zon itu kini kembali kepada zon kuning.

Malah, tiada kes baharu positif Covid-19 direkodkan di semua daerah di negeri itu hari ini.

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) dalam laporan yang dikeluarkan pada lewat petang ini menunjukkan bilangan pesakit yang sembuh juga meningkat kepada 698 berbanding 619, kelmarin.

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 kekal kepada 793 membabitkan 163 kes adalah dari kluster Pedas, 144 kes dari kluster Ijtimak Tabligh di Sri Petaling Kuala Lumpur dan 112 kes dari kluster Sendayan dengan satu kematian.

Laporan itu turut mengesahkan tiada kes kematian baharu berkaitan Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kematian di Negeri Sembilan kekal sebanyak lapan kes.

Hanya dua daerah yang berstatus zon kuning iaitu Seremban dan Rembau manakala yang lain iaitu Tampin, Jempol, Port Dickson, Kuala Pilah dan Jelebu berstatus zon hijau.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19