Covid-19: Mangsa ke-71 selamat dikebumikan

MANGSA ke-71 yang meninggal dunia akibat Covid-19 selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terusan Ulu, Juasseh, 3.45 petang hari ini.

Jenazah dikebumikan sepasukan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta dibantu beberapa ahli keluarga, pegawai syarak serta penggali kubur yang lengkap dengan peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Turut hadir Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Rosli Omar, ahli keluarga dan penduduk.

Lelaki berusia 66 tahun itu adalah bekas kakitangan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar jam 12.05 tengah hari tadi.

Allahyarham mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan gout serta mempunyai kontek rapat dengan kes positif Covid-19 kluster perhimpunan Sri Petaling iaitu kes ke-452.

Allahyarham adalah kes pertama kematian di daerah ini dan mendapat rawatan di hospital pada 1 April lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini melaporkan, lelaki itu adalah kes ke-3,091 positif Covid-19 di negara ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19