Covid-19: KKM sudah saring 83,488 orang

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sudah melakukan saringan Covid-19 terhadap 83,488 orang setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perbandingan antara jumlah yang disaring dan disahkan positif virus itu adalah 5.8 peratus atau 4,817 orang.

Menurutnya, rekod mendapati hanya 0.5 peratus kes positif daripada 1,000 orang membabitkan saringan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Di kawasan PKPD, saringan dilaksanakan terhadap semua tanpa mengira sama ada individu bergejala, tiada gejala dan golongan berisiko.

“Apabila tengok balik data, kita dapati kadar 5.8 peratus ini adalah saringan merangkumi pesakit yang disyaki (PUI), kontak rapat dan kumpulan dibawa balik daripada misi bantuan.

“Oleh itu, berdasarkan sumber yang terhad, kita akan melakukan saringan dengan menumpukan golongan berisiko, berbanding buat saringan terhadap semua orang dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehubungan itu proses saringan Covid-19 akan diutamakan kepada golongan berisiko, berbanding pendekatan pengesanan secara besar-besaran.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19