Covid-19: KKM siasat jemaah tabligh ke New Delhi

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat dakwaan mengenai ada rakyat Malaysia yang dikatakan menyertai perhimpunan tabligh di New Delhi, India pada awal bulan ini.

Ketua Pengarah KKM Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada rakan sejawat di negara itu.

“Kami sedang menyiasat kerana bukan saja di India, tetapi juga ada perhimpunan sama di Sulawesi sebelum ini.

“Sudah tentu, ia berisiko tinggi jika mereka menghadiri perhimpunan seperti ini,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dan sedang mencari 87 rakyat Malaysia yang menghadiri perhimpunan tabligh di Sulawesi dengan bantuan pihak polis.

Berhubung, sama ada mereka yang balik dari New Delhi dikesan positif Covid-19 atau sebaliknya, Dr Noor Hisham berkata, ia masih dalam siasatan.

Portal berita di India sebelum ini melaporkan bahawa sejak dua hari lalu polis India mendapati 281 warga asing termasuk 20 rakyat Malaysia tinggal di ibu pejabat gerakan Tablighi Jamaat di kawasan kejiranan Nizamuddin New Delhi.

Menurut laporan itu, peserta warga asing dari 16 negara termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand antara sebahagian kecil daripada anggaran 8,000 peserta keseluruhan untuk perhimpunan yang berlangsung selama dua hari pada 8 hingga 10 Mac.

Dari keseluruhan jumlah peserta itu, dilaporkan bahawa 30 peserta positif Covid-19 setakat ini dan sekurang-kurangnya tiga kematian dikaitkan dengan kluster perhimpunan itu.

Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri India yang tidak dinamakan dilaporkan berkata, bahawa kebanyakan warga asing berkenaan kemungkinan disenarai hitam daripada memasuki negara itu selepas ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19