Covid-19: 82 peratus anggota Amcham rugi besar

KAJIAN Impak Perniagaan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Dewan Perniagaan Amerika -Malaysia (Amcham) mendapati 82 peratus syarikat anggotanya mengalami kerugian besar susulan wabak berkenaan.

Ia kajian pertamanya yang komprehensif untuk lebih memahami bagaimana pandemik itu dan tindak balas dasar kerajaan mempengaruhi aktiviti perniagaan dan rancangan pelaburan anggotanya.

Dalam satu kenyataan, Amcham berkata, separuh daripada responden tinjauannya menjangkakan untuk mengurangkan pelaburan mereka di Malaysia pada 2020, dengan 20 peratus lagi merasa terlalu awal untuk memberi komen.

Menurutnya tinjauan itu yang dilakukan dari 17 hingga 24 April, menunjukkan sebahagian besar responden iaitu 16 peratus adalah syarikat multinasional (MNC) yang banyak melabur di sini mengalami kerugian melebihi RM500 juta sejak PKP dikuatkuasakan.

“Sebagai jalan penyelesaian jangka pendek untuk mengurangi impak pandemik itu, majoriti responden mempertimbangkan langkah pemotongan kos dan penyesuaian strategi perniagaan jangka panjang mereka, sambil merancang prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja mereka sepanjang krisis,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, syarikat global dikatakan sudah menilai semula rancangan pelaburan sebagai tindak balas terhadap wabak berkenaan.

Selain itu syarikat juga mengambil langkah untuk menyemak semula strategi rantaian bekalan untuk memastikan kelangsungan perniagaan pada masa depan.

Katanya, sebahagian besar responden menunjukkan bahawa mereka bekerja secara meluas dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menyokong operasi mereka di Malaysia.

Menurutnya, mereka turut menekankan perlunya dasar semasa yang lebih jelas berkaitan PKP supaya kegiatan perniagaan di pelbagai sektor dapat dihidupkan kembali secepat mungkin tanpa berkompromi dengan keselamatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Amcham, Siobhan Das berkata, tempoh yang unik sebegini juga membuka peluang dan kekuatan kerjasama dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

“Amcham berharap dapat meneruskan libat urus yang aktif dengan kerajaan untuk mencari penyelesaian yang pragmatik. Menerusi perkongsian jitu antara sektor awam dan swasta di Malaysia, terbukti ekonomi Malaysia berdaya tahan pada waktu mencabar ini dan kukuh menuju kejayaan baru,” katanya.