Covid-19: 707 penghuni selesai saringan

SERAMAI 707 penduduk Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kampung Baru, sudah menjalani saringan Covid-19, semalam.

Proses saringan itu dijalankan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula 9 pagi.

Pengerusi Perbadanan Pengurusan Menara Kampung Baru, Fauzi Abdullah berkata, saringan yang dijalankan semalam adalah kali kedua bagi mengesan penduduk yang positif Covid-19.

Menurutnya, sejak 4 April lalu, pangsapuri 17 tingkat itu sudah dihadkan pergerakan keluar masuk penduduk dengan dipantau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, penduduk masih dibenarkan untuk membeli barangan keperluan harian namun pergerakan keluar masuk perlu direkodkan polis untuk tujuan pemantauan.

“Setakat ini penduduk beri kerjasama yang baik untuk saringan yang dijalankan kali kedua semalam.

“Dalam saringan pertama pada 2 April lalu hanya 201 penduduk disaring dan jumlah itu meningkat semalam,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Tinjauan Harian Metro di pangsapuri berkenaan mendapati aktiviti harian kedai runcit masih berjalan seperti biasa namun pergerakan keluar masuk berkurangan.

Penduduk juga menggunakan perkhidmatan penghantar pesanan untuk membeli makanan dan barangan.

Fauzi berkata, persatuan penduduk juga terus memberikan maklumat terkini sebarang perkembangan lanjut menerusi kumpulan Whatsapp komuniti pangsapuri berkenaan.

Katanya, setakat ini penduduk memberi kerjasama yang baik untuk menjalani proses saringan yang dikendalikan KKM.

Seorang penduduk yang ditemui memaklumkan mereka tidak mempunyai masalah mendapatkan keperluan harian kerana masih dibenarkan pihak berkuasa.

“Saya harap keadaan kembali pulih seperti biasa walaupun ada satu kematian akibat Covid-19 dicatatkan di pangsapuri ini,” katanya.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan KKM sedang menjalankan pengesanan kes aktif di pangsapuri berkenaan susulan satu kematian di lokasi berkenaan.

Di Kuala Lumpur, kerajaan sudah mengeluarkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di bangunan Selangor Mansion serta Malayan Mansion, Jalan Masjid India selepas pertambahan kes secara drastik di kawasan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19