Covid-19: 106 kes aktif di Hulu Langat

HULU Langat kini merekodkan tiga angka kes aktif Covid-19 dengan pertambahan 36 kes baharu, semalam.

Jumlah kes aktif di daerah itu kini berjumlah 106 kes berbanding 70 kelmarin dan secara keseluruhan kes terkumpul adalah 592 kes.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi laman sosial Twitter memaklumkan, Selangor mengalami peningkatan selama tiga hari berturut-turut.

“Hari ketiga catat peningkatan dan sebahagian besar disumbang kes depoh tahanan Imigresen iaitu 28 kes Depoh Tahanan Semenyih serta lapan kes Tabligh Madrasah An-Nabawiyah di Hulu Langat.

“Enam kes depoh tahanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan empat kes Kampung Orang Asli Tun Razak,” katanya.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Twitter, Selangor mencatatkan 46 kes baharu Covid-19 setakat 12 tengah hari semalam.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan kes terkumpul jangkitan Covid-19 di Selangor kini berjumlah 1,776 kes.

Sementara itu, tujuh daerah yang masih kekal berada di zon kuning adalah Petaling (26), Gombak (21), Sepang (11), Kuala Selangor (9), Hulu Selangor (15), Klang (4), dan Sabak Bernam (3),manakala Kuala Langat pula kekal di zon hijau.

Sehingga kini, Selangor merekod 1,502 kes sembuh, manakala kes aktif meningkat kepada 150 dan kematian kekal pada angka 22.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19