Cekal jaga ibu bapa OKU

“IBU saya akan mengetuk tin manakala bapa saya pula hanya mampu menggamit jika mereka perlukan sesuatu,” kata Intan Zulina Osman, 34.

Ibu tunggal kepada tiga orang anak ini berkata, menjadi rutin hariannya sejak 18 tahun lalu menguruskan kedua ibu bapanya Siti Zabedah Saidin, 74, dan Osman Jusoh, 80, yang juga orang kurang upaya fizikal terlantar.

Katanya, dia hanya mencari rezeki dengan mengambil upah membuat kuih karas dengan pendapatan kira-kira RM25 sehari namun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia hilang pekerjaan itu.

“Kini saya menampung hidup dengan menjual pembersih tangan dan membantu mempromosi rakan berniaga makanan dalam talian.

“Saya tak boleh bekerja luar kerana perlu menguruskan ibu bapa saya, jadi apa saja kerja yang mampu buat dari rumah, saya akan buat asalkan jadi duit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kodiang Lama Luar, Kubang Pasu, hari ini.

Intan atau lebih mesra dipanggil Kak Chik berkata, dia sangat bersyukur mempunyai anak-anak yang dapat membantunya menguruskan kerja di rumah.

Katanya, anaknya yang sulung Aiman Haikal Aidi Fikri, 15, banyak membantu mendukung nenek dan datuknya untuk mandi setiap hari dan menyuap makanan.

Bercerita lanjut, Intan berkata, bagi menampung perbelanjaan anak-anak yang bersekolah, dia turut menerima tempahan membuat kuih raya ketika Ramadan.

Bagaimanapun, pada tahun ini hasratnya terbantut apabila ketuhar yang dibeli rosak awal Januari lalu.

“Mujurlah ibu bapa saya mendapat bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM500 sebulan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM350 sebulan. Wang itu digunakan untuk membeli lampin pakai buang, susu serta ubat-ubatan mereka.

“Anak-anak saya pula mendapat bantuan bulanan RM100 sebulan daripada JKM. Duit itu dapat digunakan untuk menampung duit poket mereka ke sekolah,” katanya yang juga anak tunggal.

Bagi orang ramai yang ingin membantu Intan Zulina, dia boleh dihubungi menerusi nombor telefon 011-26437074.