Cari ikan dari Kota Bharu ke Pasar Bisik, Kedah

DEMI kelangsungan hidup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua sahabat meredah perjalanan pergi dan balik sejauh 636 kilometer (km) bagi mendapatkan bekalan ikan kembung untuk dijual.

Nur Muhamad Faiz Haikal Mamat dan Fakhrul Azam Hashim, masing-masing berusia 22 tahun, memandu dari Kota Bharu ke Pasar Bisik, Kuala Sungai Muda, Kedah, sebanyak dua kali seminggu bagi memborong ikan untuk dijual kepada orang kampung.

Sahabat karib terbabit mengambil keputusan menjual ikan selepas pendapatan mereka sebagai pekerja di sebuah restoran diberhentikan seketika dalam tempoh PKP selain berniat membantu orang ramai mendapatkan bekalan makanan.

Nur Muhamad Faiz berkata, mereka bukan sahaja dapat menjana pendapatan dalam tempoh PKP, malah dapat menjual ikan kembung itu dengan harga yang murah serendah RM7 sekilogram serta boleh dibeli borong iaitu RM10 untuk dua kilogram (kg) ikan.

“Ramai yang mempersoalkan kenapa kami mengambil bekalan jauh sampai ke Kedah? Sebenarnya kami mengambil keputusan ini kerana harga ikan di sana jauh lebih murah selain mementingkan kesegaran serta kualiti ikan.

“Alhamdulillah kami dapat menjual ikan kembung ini sebanyak 420 kg sehari dalam masa hanya satu jam. Ramai pelanggan dari sekitar kawasan kampung yang memilih membeli dengan kami kerana harga yang sangat murah.

“Kami tidak dapat menjual setiap hari kerana perlu mengambil stok ikan kembung atau pelaling ini di Kedah. Selain, pelanggan datang membeli sendiri di tempat berniaga, kami juga menawarkan khidmat penghantaran ke rumah hanya dengan bayaran RM2 sehingga RM3,” katanya ketika ditemui di lokasi jualan ikan di Kampung Pak Badol, Melor, hari ini.

Nur Muhamad Faiz berkata, mereka mempunyai dokumen serta surat perjalanan yang sah daripada pihak berkuasa yang membolehkan mereka membuat perjalanan jauh bertujuan membawa bekalan asas untuk jualan.

Katanya, dalam kesibukan berniaga mereka tidak lupa menetapkan syarat kepada pelanggan supaya menjaga jarak dan memakai topeng muka selain memastikan seorang wakil sahaja dari setiap keluarga yang datang membeli ikan.

“Sejujurnya, kami gembira kerana masih dapat menjana pendapatan selain memberi kesenangan untuk orang kampung mendapatkan bekalan ikan dalam tempoh ini, namun tetap ada rasa bimbang memikirkan virus Covid-19 yang ada di mana-mana saja.

“Justeru, kami memang menitik beratkan kebersihan bukan saja pada diri kami, malah pelanggan juga. Jika lokasi jualan ini diserbu dengan ramai pelanggan, saya segera meminta bantuan pihak polis untuk mengawal keadaan.

“Segala penat dan lelah kami hilang apabila dapat melihat senyuman pelanggan yang gembira dan berpuas hati dapat membeli ikan dengan harga yang murah dalam tempoh PKP ini, terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan