‘Call center’ judi atas talian diserbu

POLIS menumpaskan sindiket perjudian atas talian selepas menyerbu sebuah pejabat yang dijadikan sebagai pusat operasi dan panggilan di Mont Kiara, semalam.

Serbuan pada 12.30 tengah hari itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menahan sembilan warga tempatan berusia 23 hingga 30 tahun termasuk empat daripadanya adalah wanita.

Beliau berkata, siasatan mendapati premis yang disewa sindiket berkenaan dijadikan ‘call center’ atau pusat panggilan untuk pertaruhan.

“Siasatan mendapati sindiket terbabit mensasarkan rakyat China sebagai pelanggan dengan menggunakan aplikasi WeChat, Telegram dan QQ Chat. Premis ini juga didapati beroperasi 24 jam sehari dan pekerja akan mengawal komputer utama serta telefon pintar.

“Polis turut merampas pelbagai peralatan antaranya 19 monitor komputer, 10 unit pemprosesan komputer (CPU), enam telefon pintar, modem, router dan peralatan lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, sindiket dipercayai membuat keuntungan sebanyak RM500,000 sehari dan dipercayai sudah beroperasi selama setahun.

“Premis ini disewa dengan kadar sewaan RM6,000 sebulan dan gaji pekerja di antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dengan kegiatan perjudian kerana tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap penganjur serta pelanggan yang bermain atau berada di dalam premis yang menjalankan kegiatan perjudian haram ini,” katanya.