Cabaran jururawat lelaki

LEBIH bertenaga bagi mengendalikan pesakit yang berbadan besar terutama jika perlu mengangkat dan memindahkan pesakit, itu kelebihan yang ada kepada jururawat lelaki berbanding rakan setugas wanita.

Tidak dinafikan, ada bidang tugas dalam kejururawatan yang sinonimnya dikaitkan dengan wanita itu, hanya dapat dilaksanakan golongan lelaki, apatah lagi sekiranya memerlukan kekuatan fizikal.

Bagi Mohd Fauzi Ahmad, 28, jururawat lelaki penting dalam membantu jururawat wanita dalam situasi mencabar.

Bagaimanapun, katanya, ketika negara berdepan pandemik Covid-19, tidak kira jururawat lelaki mahupun wanita, apa yang penting ialah kerjasama.

Katanya, ketika ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19 melanda negara ketika ini, dia ditugaskan di wad Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) Hospital Segamat, Johor.

“Sebelum ini dia di wad perubatan lelaki (medikal) selama tiga tahun dan dua tahun di wad psikiatri sebelum dipindahkan ke wad SARI apabila Covid-19 melanda.

“Sebagai jururawat lelaki, kami juga diberikan kepercayaan dalam membantu pesakit lelaki dari segi kebersihan diri.

“Kebanyakan pesakit lelaki lebih selesa apabila diuruskan oleh jururawat lelaki.

“Apa pun, sempena hari istimewa Hari Jururawat Sedunia ini saya berharap semoga pandemik Covid-19 dapat kita cegah bersama dan lawan habis-habisan,” katanya dihubungi Harian Metro, hari ini.

MOHD Fauzi dan isterinya Nur Shahira. FOTO Ihsan Mohd Fauzi Ahmad
MOHD Fauzi dan isterinya Nur Shahira. FOTO Ihsan Mohd Fauzi Ahmad

Mohd Fauzi berkata, dia sangat beruntung mendapat pasangan hidup amat memahami kariernya iaitu Nur Shahira Abu Hassan, 27, yang juga jururawat.

“Sebenarnya cita-cita saya sejak kecil amat jauh dengan jawatan ini. Tetapi dengan aktiviti masa remaja dulu saya lebih ke arah suka membantu orang yang memerlukan.

“Atas nasihat ibu bapa, saya menceburi bidang kerjaya yang mulia ini. Alhamdulillah mendapat keredaan mereka dan kini saya menjadi seorang jururawat lelaki,” katanya.

Dia yang baru sahaja dikurniakan anak sulung perempuan, Nurhumaira pada Januari lalu berpendapat, hadirnya wabak Covid-19 satu ujian Allah SWT kepada semua.

“Marilah bersama mengikut arahan, saranan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ini supaya untuk kita semua dapat elak dan cegah serta memutuskan wabak Covid-19 secepat yang mungkin,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19