Bungkusan ‘teh’ konon

HELAH dua lelaki menyembunyikan dadah jenis syabu seberat 2.06 kilogram dalam bungkusan teh gagal selepas mereka ditahan dalam serbuan di kawasan letak kenderaan di Jalan Perdana 4/8, Pandan Perdana, Ampang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, hasil maklumat dan risikan, sepasukan anggota JSJN Selangor melakukan serbuan di lokasi terbabit pada 6.40 petang.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui dua bungkusan plastik minuman teh berisi dadah disyaki jenis syabu seberat 2.06 kilogram yang dianggarkan bernilai RM81,000.

“Kami turut merampas kereta, kunci kereta serta dua telefon bimbit dalam serbuan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek masing-masing berusia 39 dan 42 tahun itu memiliki rekod berkaitan kes dadah.

“Hasil ujian saringan awal urin dilakukan terhadap dua suspek terbabit mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis methaphetamin.

“Siasatan awal mendapati dua suspek terbabit masing-masing berperanan sebagai pengedar dan penghantar dadah,” katanya

Beliau berkata, pihak polis sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian serta pembabitan suspek dalam kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952,” katanya.