Bom ikan berani, nampak polis marin lari

SEORANG lelaki yang sedang mengebom ikan terjun ke laut sebelum berenang ke kawasan paya bakau berhampiran di perairan Pulau Sakar dekat Lahad Datu, hari ini selepas bot dikemudi dipintas Pasukan Polis Marin (PPM).

PPM bagaimanapun gagal menahan suspek kerana bot digunakan pihak berkuasa berkenaan tidak dapat masuk ke kawasan paya berikutan airnya yang cetek.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pejeri Ali berkata, terdahulu, pada kejadian jam 12 tengah hari, pihaknya yang menjalankan rondaan Ops Covid-19 terserempak dengan suspek yang dipercayai sedang mengebom ikan.

“Kami mengejar bot pam terbabit sebelum suspek akhirnya terjun ke laut dan berenang ke arah kawasan paya bakau.

“Pemeriksaan dalam bot itu menemui kira-kira 50 kilogram ikan yang ditangkap menggunakan kaedah bom ikan,” katanya pada kenyataan.

Menurutnya, pihaknya berusaha mengesan suspek selama kira-kira 20 minit namun gagal menemuinya.

“Bot, enjin serta ikan bernilai hampir RM2,500 dirampas untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum dua tahun,” katanya.