Boleh tempah nisan ‘Online’

PENYEDIA batu nisan di Melaka mengambil kesempatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyiapkan tempahan diterima secara dalam talian.

Muhamad Zaki Alwi, 35, berkata, meskipun tempoh PKP mengehadkan pergerakan, namun kerja menyiapkan tempahan batu nisan tidak terjejas.

Bahkan, katanya, pesanan diterima daripada waris secara Online itu membolehkan dia menyiapkan kerja berkenaan di bengkel di belakang kedainya di Padang Temu, sendirian.

“Kebiasaannya pada Ramadan saya akan menerima permintaan tinggi kerana waris mahu menggantikan nisan lama mahupun kepok atau kepungan di pusara ahli keluarga mereka.

“Jadi kini, tempahan diterima tidak seperti biasa kerana kedai tidak dibuka. Semua tempahan dibuat Online dan saya akan siapkan di bengkel belakang kedai,” katanya yang sudah 11 tahun terbabit pembuatan itu.

Dia yang mewarisi perniagaan daripada Allahyarham ayahnya Alwi Ty Husin berkata, kebanyakan pelanggan juga adalah daripada bekas pelanggan yang pernah menerima sentuhan Arwah.

“Antara binaan batu nisan termasuk daripada batu sungai, batu gunung, seramik, marmar dan kayu cengal mengikut permintaan dan pilihan pelanggan,” katanya.

Harga ditetapkan berpatutan dan perniagaan itu menampung permintaan dari Melaka Tengah, Jasin, Sungai Rambai, Bandar Hilir, Ayer Molek selain luar Melaka.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan