Boleh solat jemaah, Jumaat di masjid, surau terpilih

MAJLIS Fatwa Negeri Sabah memutuskan untuk membenarkan solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid serta surau terpilih berkuat kuasa Jumaat ini.

Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar pada kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat dengan merujuk keputusan Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) pada 11 Mei lalu.

“Kebenaran ini bagaimanapun hanya tertakluk kepada ahli jawatankuasa masjid dan surau sahaja.

“Kebenaran solat berjemaah hanya diberikan kepada ahli jawatankuasa masjid dan surau sahaja dan bilangan ahli jemaah tidak melebihi empat orang. Kebenaran ini termasuk melaksanakan solat sunat tarawih.

“Solat sunat tarawih digalakkan dilaksanakan hanya lapan rakaat sahaja dan selebihnya

dilaksanakan di rumah masing-masing,” katanya.

Menurut beliau, selain itu, kebenaran solat Jumaat juga hanya diberikan kepada ahli jawatankuasa masjid (AJK) sahaja dan bilangan jemaahnya pula tidak kurang daripada tiga orang dan tidak lebih daripada

12 orang, termasuk imam dan khatib,” katanya.

Bungsu berkata, bagaimanapun, keputusan kebenaran ini tidak membabitkan solat sunat Aidilfitri.

“Semua ahli kariah dinasihati melakukan solat sunat Aidilfitri tahun ini di kediaman masing-masing.

“Takbir hari raya hanya dibenarkan diadakan pada malam hari raya sahaja di masjid dan surau dengan kadar yang memadai oleh bilangan jemaah yang dibenarkan iaitu empat orang dalam kalangan AJK masjid atau surau,” katanya.

Bungsu turut memperincikan yang warga emas dan golongan bergejala tidak dibenarkan untuk datang ke surau atau masjid.

Jemaah turut diminta untuk mengamalkan langkah keselamatan seperti yang disarankan kerajaan.

“Jawatankuasa masjid dan surau yang berusia lebih 70 tahun tidak dibenarkan untuk hadir berjemaah begitu juga mereka yang mempunyai gejala seperti demam dan batuk,” katanya.

Menurut Bungsu, jawatankuasa masjid dibenarkan menggunakan pembesar suara semasa bacaan teks khutbah dan takbir Aidilfitri untuk manfaat orang Islam di sekitar masjid dan surau.

Beliau menegaskan, orang awam masih belum dibenarkan hadir ke masjid dan surau dan meminta masyarakat supaya mematuhi nasihat dan saranan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.