Boleh beroperasi hingga 10 malam

KEDAI makan di Kelantan dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam mulai esok, berbanding sebelum ini hanya 6.30 petang.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas hari ini.

Katanya, banyak permintaan diterima daripada pengusaha kedai makan supaya tempoh operasi dipanjangkan, menyebabkan kerajaan negeri mengambil keputusan membenarkannya dalam tempoh seminggu menjelang Aidilfitri.

“Jika sebelum ini kita mengumumkan kedai makan hanya beroperasi dari 3 hingga 6.30 petang. Mulai esok, operasi kedai makan dipanjangkan dari 3 petang hingga 10 malam.

“Namun, orang ramai tidak dibenarkan makan di restoran, sebaliknya pembelian bungkus sahaja yang dibenarkan.

“Jadi, sudah boleh jual colek mulai esok, namun bungkus sahaja. Peraturan ini terpakai sehingga malam Aidilfitri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JKKN Khas, di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Ahmad bagaimanapun berkata, selepas raya ketiga, operasi kedai makan boleh beroperasi seperti biasa iaitu dari jam 7 pagi hingga 10 malam.

“Tujuan kita membuat pelepasan berperingkat adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak Kelantan dilanda Covid-19, sebagaimana Perak.

“Justeru, saya mengingatkan peniaga kedai makan supaya mematuhi prosedur yang ditetapkan dengan menjaga jarak sosial,” katanya.