Bimbang risiko apabila kembali beroperasi

KERAJAAN perlu melihat semula risiko kepada kelonggaran yang diberikan untuk beberapa sektor industri apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi sehingga 28 April ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, sebarang kelonggaran yang diberikan untuk beroperasi semula dibimbangi boleh menjejaskan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membendung penularan Covid-19.

Menurutnya, kelonggaran yang ingin diberikan juga dibimbangi akan menyukarkan pihak berkuasa untuk menguatkuasakan perintah PKP sedia ada dalam negara ini.

“Perintah PKP ini terpaksa dilakukan dalam negara kita bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Walaupun sudah hampir sebulan melaksanakan perintah PKP, masih ada segelintir pihak yang melanggarnya di mana hampir setiap hari terdapat laporan ketidakpatuhan (tangkapan),” katanya.

Muzaffar berkata, kerajaan perlu meneliti semula beberapa kelonggaran yang ingin diberikan kepada beberapa sektor tertentu supaya dapat mengelakkan penularan Covid-19 dalam negara.

“Terdapat beberapa sektor industri tertentu yang boleh diberi kelonggaran seperti sektor industri yang membabitkan perkhidmatan umum kerajaan kepada rakyat serta perkhidmatan kesihatan.

“Namun, sektor industri lain yang boleh mendedahkan orang ramai kepada risiko jangkitan Covid-19 perlu dilihat semula seperti perkhidmatan gunting rambut dan dobi,” katanya.

Katanya, walaupun terdapat cadangan untuk mewujudkan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) untuk setiap sektor industri terbabit untuk menjalankan operasi mereka, ia masih dirangka.

“Kita juga tidak dapat menjamin tahap kepatuhan orang awam terhadap garis panduan dan SOP yang bakal dirangka kelak.

“Mungkin anggota pihak berkuasa tambahan terpaksa dikerahkan untuk setiap sektor industri ini bagi memastikan tahap kepatuhan orang ramai terhadap garis panduan dan SOP sekali gus memberi tekanan dan beban tambahan kepada mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan