Biadapnya kamu!

DUA lelaki bertindak biadap apabila memaki hamun anggota polis yang menahan mereka selepas didapati membawa dua paket dadah di Jalan 26, Taman Selayang Jaya, Gombak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak melakukan rondaan di kawasan berkenaan sebelum terserempak dengan dua suspek terbabit masing-masing berusia 30-an yang menaiki motosikal pada 1 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati pembonceng motosikal berkenaan memiliki dua paket dadah dipercayai jenis syabu.

“Ketika ditahan, pembonceng motosikal enggan bekerjasama dan memaki hamun anggota bertugas dengan kata-kata kesat selain bergelut untuk melepaskan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 37 dan 33 tahun bekerja sebagai juruteknik elektrik dan pembuat cincin.

“Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Mereka direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 27 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186/509 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama,” katanya.