Bertumbuk nak tarik kereta

LAPAN lelaki dari dua kumpulan penunda kenderaan ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan kerana salah faham dan berebut pelanggan di Seri Kembangan, Serdang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kejadian berlaku jam 2 petang di Jalan Serdang Raya 1/7, Seri Kembangan apabila mereka bertindak ganas dengan bertumbuk dan menendang antara satu sama lain.

Menurutnya, tiada penggunaan senjata dikesan dan motif adalah berebut pelanggan menyebabkan seorang lelaki cedera di kepala serta dirawat sebagai pesakit luar.

“Sebuah kenderaan milik penunda kenderaan dipecahkan di cermin hadapan.

“Berikutan itu, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menjalankan ops khas mengesan kesemua suspek dan berjaya menahan lapan orang dalam kalangan kedua dua kumpulan itu,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Ismadi berkata, mereka akan direman di Mahkamah Petaling Jaya esok dan tindakan sedang digiatkan lagi untuk mengesan baki suspek.

“Oleh itu pihak polis sekali lagi menegaskan supaya kesemua pihak agar bertenang dan jangan menimbulkan provokasi yang melampau sehingga mengakibatkan tindakan di luar batasan dan melangkaui undang-undang. Siasatan lanjut kini diteruskan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.