Bersiap menuju Ramadan…

DALAM tempoh dua minggu lagi Ramadan akan menjelang, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengajak umat Islam membuat persiapan bagi memastikan ia dapat dihayati dengan lebih baik berbanding tahun-tahan sebelumnya.

Penolong Setiausaha Agung ABIM Mohd Shazni Abdullah berkata, antara perkara boleh dilakukan ialah persiapan ilmu pengetahuan supaya setiap amalan dapat dilakukan dengan istiqamah untuk terus beramal sepanjang hari.

“Kita mengetahui Ramadan itu bukan setakat faham hukum fiqahnya. Tapi inilah bulan pengampunan, bulan kerahmatan, bulan kekeluargaan dan banyak lagi keistimewaan.

“Maka bacalah kajian dan pengisian-pengisian ilmiah bagi menjana semangat merebut fadilat setiap saat di dalam bulan yang dinanti ini,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Mohd Shazni turut mengajak umat Islam supaya memperbanyakkan doa dan taubat memohon kepada Allah seperti yang dianjurkan oleh ulama sebelum memasuki Ramadan.

Katanya, doa itu dilakukan bukan sahaja menzahirkan supaya dapat dipertemukan dengan Ramadan, juga agar Allah menganugerahkan kesihatan dan diberikan kekuatan sekali gus amalan ibadah dapat dilipat gandakan.