Bergilir ke laut tangkap ikan

“PENDUDUK yang mempunyai bot terpaksa bergilir turun ke laut untuk mendapatkan ikan segar.

“Kami juga terpaksa berkongsi membeli bahan bakar untuk menampung kos minyak pemilik bot turun ke laut menangkap ikan,” kata Sulijah Awang, 63, penduduk di Kampung Baharu, Pulau Redang.

Bagaimanapun, jelasnya, bukannya setiap kali keluar penduduk yang memiliki bot dan peralatan menangkap ikan pulang membawa hasil.

“Ada ketikanya penduduk pulang tanpa memperolehi hasil tangkapan,” katanya mengakui hanya ikan sardin dibekalkan kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai lauk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kuatkuaskan 18 Mac lalu.

Sementara itu, suri rumah, Ramlah Ibrahim, 53, berharap sangat agar PKP yang sudah memasuki fasa kedua berakhir secepat mungkin.

Jelasnya, walaupun penduduk tidak berhadapan masalah mendapatkan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung gandum dan gula, tetapi bekalan itu tidak akan bertahan jika PKP dilanjutkan.

“Kami juga berhadapan masalah untuk mengeluarkan wang tunai daripada instuasi kewangan kerana tiada kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sediakan di pulau peranginan itu,” katanya.

Ramlah menjelaskan, walaupun bekalan keperluan asas masih mencukupi, tetapi penduduk dibelenggu untuk membuat persiapan pada bulan ramadan.

Berhubung Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Ngah Jusoh, 48, menjelaskan, penduduk menghadapi masalah untuk ke bandar raya Kuala Terengganu kerana perkhidmatan feri dihentikan sejak 22 Mac lalu.

“Kami merayu kerajaan agar permudahkan bayaran, termasuk melantik agensi instuasi kewangan membuat pembayaran secara tunai, ” katanya.

BAZLAN (dua kanan) menghantar bekalan makanan kepada penduduk di Pulau Redang. FOTO Baharom Bakar
BAZLAN (dua kanan) menghantar bekalan makanan kepada penduduk di Pulau Redang. FOTO Baharom Bakar

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman menjelaskan, 270 kampit beras yang setiap satu mengandungi lima kilogram, minyak masak, tepung gandum dan gula dihantar untuk keperluan penduduk di pulau peranginan itu.

“Kita menyewa lima bot untuk menghantar barangan keperluan asas bagi menampung penduduk di pulau berkenaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan