Beraya dalam air

KIRA-KIRA 20 keluarga di Taman Wadi Iman, Kok Lanas terpaksa mengharung air di rumah mereka dalam kejadian banjir kilat, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, air memasuki kediaman mereka selepas hujan dan ribut petir berlaku selama sejam.

Kejadian menyebabkan laluan di hadapan perumahan itu ditenggelami air dan beberapa kediaman mengalami kerosakan fius elektrik.

Penduduk, Kamaruddin Mohamad, 45, berkata, kejadian banjir kilat itu kali ke enam berlaku sejak dia tinggal di situ, setahun lalu.

Katanya, setiap kali hujan lebat, kawasan sekitar perumahan itu digenangi air sehingga melimpah ke dalam rumah walaupun hujan berlaku dalam tempoh singkat.

“Ketika orang lain masih menyambut Aidilfitri, kami pula terpaksa bersihkan rumah.

“Walaupun tidak seteruk tahun lalu, tetapi banjir kilat sejam ini turut merosakkan perabot dan perkakas elektrik,” katanya ketika ditemui di taman perumahan itu, hari ini.

Bagi Norasyikin Haron,52 setiap kali hujan, dia dan keluarga akan berjaga-jaga untuk mengangkut barang berharga ke tempat lebih tinggi dan selamat.

Katanya, kawasan itu mudah ditenggelami air walaupun hujan tidak sampai satu jam dipercayai berpunca daripada sistem perparitan yang tidak teratur.

“Apabila hujan lebat, air akan melimpah dan bertakung di kawasan perumahan ini, kali ini penduduk terpaksa pecahkan penghadang parit untuk membolehkan limpahan air yang masuk dalam kediaman dan merintangi jalan dapat mengalir keluar,” katanya.

Mohd Radzi Sulaiman, 45, pula berharap pihak pemaju mengambil tanggungjawab menyelesaikan masalah itu.

Katanya, sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil pemaju dan penduduk terpaksa berdepan rumah ditenggelami air setiap kali hujan lebat.

Difahamkan terdapat hampir 100 kediaman di taman perumahan itu dimajukan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang dirasmikan pada 29 April 2018.

Bagaimanapun, sejak diduduki tahun lalu, kawasan itu kerap ditenggelami banjir kilat dipercayai kerana masalah sistem perparitan.