Beratur hampir 1km ke Pasar Besar Melaka

ORANG ramai terus mengunjungi Pasar Besar Melaka di Bachang walaupun terpaksa beratur hampir satu kilometer untuk membeli keperluan harian menjelang Aidilfitri.

Tinjauan hari ini mendapati lebih 300 pengunjung beratur dari pintu masuk sehingga ke kawasan letak kenderaan bagi menunggu giliran masing-masing.

Mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk setiap pengunjung perlu menjalani pemeriksaan suhu badan, mencuci tangan dan melalui terowong nyah cemar menjadikan pergerakan masuk agak perlahan.

Pengunjung, Ponya Wahab, 61, berkata, khabar angin mendakwa pasar borong Batu Berendam ditutup akibat Covid-19 juga antara faktor Pasar Besar Melaka menjadi tumpuan orang ramai.

Katanya, isu berkenaan yang hangat diperkatakan termasuk tular di media sosial mengubah destinasi pelanggan yang biasa ke pasar borong ke Pasar Besar Melaka sekali gus menyebabkan situasi agak padat.

“Walaupun beratur panjang namun kami lalui juga dengan sabar berikutan mahu membeli keperluan untuk persiapan Aidilfitri, tambahan tidak mahu membeli pada saat-saat akhir.

“Malah dalam tempoh terdekat kemungkinan harga akan naik, justeru kami mengambil kesempatan membeli lebih awal. Kebiasaan harga barang naik sedikit pada musim perayaan namun pemantauan pihak berwajib mampu mengelak kenaikan mendadak,” katanya.

Sementara itu, pengawal keselamatan bertugas, K Kalimuthu berkata, orang ramai sudah mula agresif membeli-belah untuk persiapan hari raya.

Katanya, keadaan hari ini dan semalam memang ramai namun terkawal.