‘Beratnya dugaan ini Ya Allah…’

“RAMADAN tahun lalu, isteri saya meninggal dunia dan hari ini, saya saya sekali lagi diuji Ilahi,” kata Maznon Abd Rani, selepas rumahnya di Kampung Dendang, Jerangau, Dungun hangus dalam kebakaran, petang tadi.

Berikutan kebakaran pada 6 petang itu, bapa tunggal bersama lima anak berusia antara lapan hingga 23 tahun itu tinggal sehelai sepinggang.

Maznon, 46, berkata, ketika kejadian dia membawa tiga anaknya ke bandar Dungun untuk membeli barangan keperluan harian.

“Saya menerima panggilan telefon daripada jiran memaklumkan rumah terbakar dan nasib baik dua anak berusia lapan dan 23 tahun berjaya menyelamatkan diri.

“Saya bergegas pulang dan apabila sampai, rumah sudah hangus. Segala barangan, dokumen penting dan baju raya anak gagal diselamatkan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, kesedihannya selepas kehilangan isteri, Maznah Che Lah, 48, yang meninggal akibat barah hati pada Ramadan tahun lalu masih belum terubat dan hari ini, dia sekali lagi terpaksa berhadapan dengan situasi sangat menyedihkan itu.

“Apa boleh buat, itu semua sudah ketentuan Ilahi dan saya perlu tabah menghadapi ujian ini dan kini kami terpaksa menumpang di rumah ayah.

“Saya hanya bekerja kampung, pendapatan tak menentu dan kini saya bingung memikirkan untuk membina rumah baru,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat )BBP) Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Penolong Penguasa Bomba, Zul Husni Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.13 petang.

Menurutnya, seramai 15 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian dan mendapat bantuan daripada BBP Dungun.

“Kami berjaya mengawal api daripada merebak ke tiga rumah berhampiran dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 8 malam.

“Kami bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.