Berani rompak ketika Perintah Kawalan Pergerakan

MASIH berani lakukan samun berkumpulan walaupun polis giat memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Itu tindakan sekumpulan lelaki yang melakukan samun di sebuah kediaman di Jalan Dato Abdul Hamid, di Klang, Selangor, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, susulan kejadian itu, polis kini berusaha mengesan individu dikenali sebagai M Satisylin, 26 beralamat di Taman Sentosa dan R Vijendran, 21 beralamat di Taman Sri Sentosa Klang.

“Individu ketiga yang dikehendaki adalah B Logendran, 25 dari Taman Sentosa Putri dan individu terakhir, B Kervin, 27 beralamat di Vista Bayu Apartment, Klang.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya tadi.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, seorang lelaki Bangladesh yang berada di rumahnya di Jalan Dato Abdul Hamid didatangi sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau serta kayu.

Suspek bertindak merampas empat telefon bimbit milik mangsa serta wang tunai RM300 milik rakan mangsa.

Susulan itu, dua lelaki sudah ditahan dan sebuah Perodua Alza dirampas untuk siasatan lanjut.